"sometimes there is NO next time, NO second chance, NO time out.... sometimes....it's NOW or NEVER...."

Tuesday 24 December 2013

Ekonomi, Keluarga & Derita


Artikel yang saya tuliskan ini hendaklah dibaca selepas kita semua meletakkan bendera parti ditepi. Ketepikan dahulu warna politik masing-masing, dibaca dan difahami dengan berlapang dada dan mohon beri pendapat bertamadun jika mahu. Saya bukan orang politik, saya hanya rakyat biasa...


Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun 2014, tahun yang penuh dengan cabaran pastinya. Saya ingin membuat sedikit komentar berkaitan kesediaan rakyat marhaen dalam menempuh keadaan ekonomi yang mencabar, dunia ekonomi kapitalis yang berlumba-lumba untuk meraih keuntungan dan kesengsaraan sebahagian mereka yang tertinggal dalam arus perdana ini.

Minggu lepas saya didatangi seorang staf. Saya minta beliau berkongsikan tadbir urus kewangan keluarga dengan gaji minimum RM900 sebulan. Isterinya bekerja sambilan, mempunyai 2 orang anak. Seorang berumur 1 tahun dan seorang lagi berumur 5 tahun. Pendapatan yang diterima oleh isteri sekitar RM500 dengan membuat kuih yang ditempah oleh pelanggannya. Saya terfikir sejenak, bagaimana lelaki ini menguruskan kewangan keluarganya dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM1,400 sebulan. Cerita beliau menjadikan saya ingin menulis artikel ini.


Ekonomi Keluarga dan Keperluan Isi Rumah

Tekanan ekonomi pada waktu ini amat meruncing. Kenaikan pelbagai barangan keperluan bermula dari kenaikan minyak, dibebani lagi dengan penarikan subsidi gula, kenaikan tarif elektrik pada masa akan datang dan kenaikan kadar tol. Semua ini berlaku hanya selang beberapa bulan dan minggu sahaja. Ramai masyarakat tidak bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi semua tekanan ini serentak. Mereka terkejut dengan pengistiharan demi pengistiharan, alasan demi alasan.

Isu penarikan subsidi gula baru-baru ini, walaupun dengan kadar yang munasabah telah “mengoyakkan” lagi poket kita. Bukan nilai ini yang ingin dibicarakan, tetapi kesan dari kenaikan harga gula telah mempengaruhi perletakan harga bagi produk yang menggunakan gula. Contohnya seperti harga makanan dan minuman di gerai-gerai, kuih mueh, kek dan sebagainya. Janganlah pula ada yang mengatakan “lepas ini jangan makan kueh, jangan minum teh o ais, jangan makan kek durian”. Saya pasti, mereka yang menggunakan alasan ini, mungkin Allah sudah menarik sedikit kebijaksanaan mereka.

Lihat pula kesan kepada kenaikan harga tepung. Bukanlah kenaikan itu yang menjadi masalah kerana satu keluarga biasanya hanya menggunakan tepung sekitar 1 hingga 3 kilogram sahaja sebulan. Jika kenaikan tepung RM0.20 misalnya, satu keluarga hanya menanggung peningkatan RM0.60 sahaja sebulan untuk membeli 3 kilo tepung. Tetapi, kesan kenaikan ini lebih besar dari itu. Semua produk berasaskan tepung turut naik pada kadar yang kadangkala tidak munasabah. Lihat pada harga roti canai? Adakah selepas ini roti canai tidak lagi menjadi menu untuk kita bersarapan pagi?

Jika penarikan subsidi gula dan tepung ini telah memberi kesan langsung kepada produk-produk lain berasaskannya, bagaimana kesannya kepada peningkatan harga petrol, kenaikan tariff elektrik dan perubahan harga tol? Tidakkah kesannya lebih besar?

Sejak dari penarikan subsidi petrol, lihatlah apa yang telah berlaku? Kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan. Sebotol kicap yang dulunya dianggap “penyedap” ketika makan, tidak lagi “sedap” didengar harganya. Tidak pernah kita terfikir sebotol kicap sudah berharga RM10.00!!

Bila kita ingin menuding jari pada pengusaha dan peniaga, pasti mereka mempunyai alasan mereka sendiri. Kedai runcit misalnya, jika setiap bulan sebelum ini mereka untung dalam urusniaga sebanyak RM30,000 sebulan, tetapi selepas kenaikan petrol dan kenaikan harga dari pembekal, mereka pasti akan memindahkan kesan itu kepada pengguna. Pemilik kedai runcit mestilah mahu menambah keuntungan mereka atau setidak-tidaknya pendapatan bulanan mereka tetap sama iaitu RM30,000 sebulan. Dan akhirnya pengguna akan terkesan dari kenaikan-kenaikan ini. 

Menjadi rutin bagi mereka yang bekerja makan gaji, setiap bulan selepas mendapat gaji, kita akan ke pasaraya-pasaraya besar seperti Giant, Tesco dan lain-lain. Dulu sebuah troli yang memuatkan barangan keperluan rumah dan makanan sekitar RM150. Tetapi lihatlah harganya sekarang. Kalau anda tidak percaya, cuba perhatikan troli-troli yang beratur untuk membuat bayaran. Dulu penuh mencurah-curah, sekarang rata-rata dari pelanggan pasaraya ini hanya berbelanja setengah dari ruang troli-troli ini.

Saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk berjimat cermat. Mengutamakan keperluan dari keinginan. Saya pasti, semua dari kita sedang menyahut saranan ini. Sekurang-kurangnya jika dulu kita gemar bersarapan pagi dengan “Roti Telur Bawang”, sekarang kita memilih “Roti Kosong Banjir Kuah Lebih”. Itupun jika kuah lebih tidak dicaj oleh mamak di kaunter.


Aktiviti Sosial Bersama Keluarga

Pembentukan aktiviti kekeluargaan amat penting untuk menjamin persekitaran dan pertalian yang harmoni kepada institusi kekeluargaan. Tetapi sedar atau tidak, sebahagian dari aktiviti-aktiviti ini juga memerlukan modal dan kewangan.

Dengan adanya bermacam bentuk pengiklanan di media masa, televisyen, media social dll, secara tidak langsung ianya membentuk persepsi kekeluargaan yang semua orang inginkan. Keseronokan aktiviti berkeluarga yang berjaya diwujudkan seperti pengiklanan Lego Land, Sunway Lagoon, Taman-taman tema yang lain, promosi makanan seperti Pizza Hut, KFC, Mc Donald sangat-sangat berjaya. Pemasaran ini telah mencuit hati-hati kita untuk merasai pengalaman semua ini bersama keluarga tercinta.

Tidak menjadi perkara yang asing, jika anak-anak kita berkata “Papa, jom kita pegi Lego Land, macam best je, macam seronok je”.
Sebagai seorang ketua keluarga, menjadi keinginan kita untuk memenuhi permintaan anak-anak. Tetapi, ketika si bapa melihat baki akaun di bank, hanya tinggal RM300, cukup untuk membiayai keperluan dapur sehingga hujung bulan. Si ayah terus berjanji, “Insyaallah, nanti kita pergi, tunggu ayah ada duit ok?”

Si Ayah telah membina harapan pada si anak, si anak sudah mula bercerita pada rakan-rakannya di sekolah “Ayah kita nak bawa kita pegi Lego Land, ayah awak tak bawa awak…weeekk”. Sehinggalah anak yang berusia 6 tahun ini meningkat usianya 16 tahun, belum juga dibawa anak-anak ke Logo land. Lihatlah betapa besarnya kesan kepada anak-anak ini nanti. Semuanya kerana si ayah tidak mampu untuk mengeluarkan kewangan bagi memenuhi permintaan anak-anak. Manakan tidak, keperluan rumah pun banyak yang terpaksa ditangguhkan, inikan pula ingin bercuti bersama keluarga yang pasti akan memakan modal ratusan atau ribuan ringgit. Mungkin kita tidak tergolong dari kumpulan itu, tetapi percayalah, ramai diantara kita mengalami situasi ini.

Berapa ramai antara kita yang tidak mampu untuk memenangi hati anak mereka oleh kerana kesempitan kewangan ini? Ditambah pula dengan harga kemasukan ke tempat-tempat ini terlalu tinggi. Jadi semua keseronokan ini dibina untuk siapa? Hanya kepada mereka yang ada duit?

Kenapa kadar kemasukan ini pula tinggi? Ini adalah pelaburan pihak swasta yang pasti sudah menelan belanja jutaan ringgit atau lebih dari itu. Pasti para pelabur ingin mendapatkan pulangan segera. Ini bukan taman awam untuk mereka bersuka ria secara percuma. Zaman-zaman PERCUMA ini telah lama berakhir.

Kesan dari kesempitan ini, ramai juga ibu bapa yang mengambil pendekatan yang lebih bijak. Mereka cuba memberi keseronokan kepada anak-anak ke tempat yang tidak memerlukan bayaran yang mahal. 

“Jika ingin mandi manda, tidak perlu ke Sunway Lagoon, jom kita ke Sungai Congkak!! Airnya lagi sejuk dari sunway lagoon. ”

“Jika nak menonton wayang cerita Thor, tunggu saja dvd “pirate” keluar, kosnya baru RM7, boleh tengok banyak kali, nanti ayah belikan “popcorn” kat pasar malam, sama je rasanya”


Ekonomi dan Jenayah Yang Semakin Parah

Saya juga amat terkejut apabila membaca sebuah artikel yang telah mengaitkan Kuala Lumpur sebagai antara 10 bandar yang amat merbahaya dan tidak selamat. Dalam tempoh 3 tahun, peningkatan jenayah meningkat 70%. Sama ada ianya fakta yang tulen atau tidak, saya tidak pasti. Kerana itu saya menyambut baik tindakan kerajaan dalam perlaksanaan Ops Cantas.
Jika diamati, mengapa jenayah boleh meningkat begitu mendadak? Selain dari kebanjiran warga asing yang tidak terkawal, punca utama berlakunya jenayah adalah faktor ekonomi.

Ada diantara kita yang mungkin terpaksa melakukan pelbagai penipuan, mencuri, merampas harta orang lain dan apa-apa tindakan yang diluar jangkaan adalah keranan tekanan ekonomi. Buktinya, dulu pencuri kasut di masjid, pencuri tabung masjid dan lain-lain kes kecurian “amatur” adalah dikalangan penagih dadah. Mereka terpaksa mencuri untuk mendapatkan duit dan duit itu akan digunakan untuk membeli dadah. Tetapi kebelakangan ini sudah mula ada diantara mereka yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli susu anak, membayar hutang, membayar yuran sekolah adik dan lain-lain. Dahulu jarang sekali kita mendengar berita-berita seperti ini. Ini menunjukkan bebanan ekonomi yang dialami masa ini memberi kesan langsung kepada pertumbuhan jenayah.

Bermula dengan mencuri kasut di masjid, apabila sudah berjaya mereka berani membuat jenayah lebih berat, memeras ugut, menculik, merompak, merompak bersenjata dan akhirnya berani membunuh!!!
Sifirnya sangat mudah “ Bila ekonomi terbeban, jenayah akan parah”
Ketika saya kanak-kanak 25 tahun yang lalu, ibu saya menghadiahkan sebuah basikal. Saya gunakan basikal itu untuk meronda satu kampung. Tidak puas dengan kampong sendiri, kampong sebelah pun saya terokai. Harini saya membeli basikal pula kepada anak saya, tetapi kasihan dia, dia hanya dibenarkan main basikal di kawasan parking kereta rumah. Paling jauh pun di jalan hadapan rumah, itupun ditemani ibunya atau saya sendiri. Saya tahu kebanyakan dari anda juga begitu. Jadi apakah maknanya itu? Sendiri senyum, sendiri fikir.


Jom berjimat, Rakyat juga Pemerintah

Dalam tekanan ekonomi seperti ini, bukanlah masanya untuk kita menuding jari. Menyalahkan sesiapa, yang hijau salahkan yang biru, yang merah menuding yang hijau. Seakan tiada langsung penyelesaian. Orang politik terus berpolitik, rakyat terbanyak terus terbeban. Sampai bila? Yang berpolitik sibuk bercerita kesusahan rakyat, membuat pelbagai sidang akbar, mereka-reka banyak fakta, menyampaikan bantuan itu ini sambil mengambil gambar dan dimuatkan dalam akbar, lebar senyumnya sambil mengangkat ibu jari tanda “best”. Apa yang “best” tidak difahami. Bila diselok poketnya, tersimpan kunci Mercedes E240 yang baru didaftarkan, baru tadi bercerita soal kesusahan, bebanan, penjimatan kepada golongan miskin. Dunia apakah semua ini.

Kita juga tidak perlu menjadi sangat radikal dalam berbicara soal ini. Bukan masanya bagi kita untuk menambah lagi isu yang perlu diurai. Samaada rakyat terbanyak atau pemerintah harus sama-sama memainkan peranan untuk menangani isu ini. Bukankah pemerintah itu tugasnya untuk menyediakan kebaikan kepada rakyatnya?

Sebagai rakyat, saya berpendapat memang wajib kita berjimat. Ianya bukan lagi pilihan tetapi kemestian. Tangguhkan dulu keinginan, buat pilihan yang bijak dalam mendapatkan keperluan. Harus seimbang antara keperluan diri, keluarga dan anak-anak. Utamakanlah dahulu apa yang lebih penting. Dari sudut ekonomi keluarga, elakkan dari kita terikat dengan liability yang berpanjangan seperti pinjaman bank. Pinjaman peribadi tanpa tujuan yang sering ditawarkan oleh koperasi bagi kakitangan kerajaan hanya akan memusnahkan perancangan kewangan keluarga jika pinjaman itu hanya bertujuan untuk menukar “spotrim” dan “audio system” kereta MyVi anda. Jika tiada spotrim “Vossen” pun, kereta anda masih boleh dipandu dengan selamat. 

Kurangkan aktiviti diluar rumah yang boleh mengganggu kewangan. Cuba cari idea untuk menjalankan aktiviti dirumah seperti bermain “Saidina” bersama anak-anak atau lain-lain. Wujudkan suasana yang selesa untuk anak-anak supaya mereka tidak bosan ketika berada dirumah. Jika mereka tidak bosan ketika dirumah, mereka tidak mengajak kita keluar,jika mereka tidak mengajak kita keluar, kita tidak perlu singgah di mesin ATM. Jika ingin berbelanja, jangalah terlalu boros. Uruskan kewangan dengan baik.
Pemerintah juga harus bersikap terbuka. Janganlah apabila ditegur, golongan yang menegur terus dianggap melawan kerajaan. 

Ketika Khalid bin Al Walid dilantik menjadi ketua panglima Islam, beliau sering teringat apa yang pernah disampaikan oleh Abu Bakar. “Pangkat dan perlantikan sebagai ketua itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi sebagai ketua memegang amanah yang besar untuk menjalankan tanggungjawab, mereka amat takut dengan jawatan itu kerana jika tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, pasti Allah SWT akan murka”.

Kerajaan juga lebih harus berhemah dalam mengurus tadbir kewangan negara. Laporan audit yang parah harus cepat diubati. Ketirisan perlu dibendung dengan segera. Rakyat juga akan tersenyum lebar jika mendapati pemerintah berjimat dan tidak berlaku kebocoran. Rakyat pasti akan marah, jika selepas ini ada pula “kambing yang dibela didalam kondo”. Yang sudah, sudahlah…

Saya cuba memahami tekanan dan perancangan kerajaan dalam menangani krisis dan isu ini. Kerajaan berpendapat ianya adalah penderitaan jangka pendek kepada rakyat untuk memberi kesan yang lebih baik kepada negara dalam jangka panjang. Saya sangat neutral dalam perkara ini dan tidak bersifat menyalahkan kerajaan. Tetapi persoalannya, adakah rakyat mampu menghadapi tekanan sehebat ini?

Saya menyarankan juga agar kerajaan membuat pendekatan yang lebih baik dalam menjaga ekonomi negara. Terlalu kerdil untuk kita berbicara soal kewangan negara. Tetapi inilah hakikatnya, jika terlalu banyak perkara yang tidak perlu dilakukan, ekonomi negara semakin terhimpit.
Dengarlah rintihan rakyat terbanyak, mereka ini susah, jika tidak membantu secara total jangan pula dibebani dengan itu dan ini. Jadilah pemerintah berjiwa rakyat. Berjiwa rakyat bukan sekadar mengambil gambar dengan bantuan beras, memberi “mock-up” cek, memberi beg sekolah, ianya harus lebih dari itu.

Sebagai pembangkang pula, buangkanlah sifat suka sangat membangkang. Semuanya tidak betul. Sebahagian dari fakta yang dikeluarkan juga tidak dinafikan kebenarannya. Dan ada juga antara saranan kerajaan itu harus disambut baik oleh pembangkang. Orang politik duduklah semeja, berbincang soal rakyat. 

Anwar Ibrahim itu homoseksual, Rosmah dengan jetnya peribadinya, Najib dengan pembazirannya, Mat Sabu dengan syiahnya, Lim Guan Eng dengan perkaumannya – rakyat tidak mahu dengar itu lagi. Sudah bertahun perkara ini diulang-ulang, jika makanan sudah muntah, jika ganja telah "overdose". Rakyat letih, penat, lelah, semput dengan semua ini. Rakyat mahukan haknya untuk dibela, dipelihara, disayangi, diharmonikan kehidupannya, dibantu bila susah, diseronokkan jiwa-jiwanya.

Semoga selepas ini, bebanan rakyat akan tersemat dihati pemimpin. 

Fairus Mohd Tabiee
Saya Orang Biasa-Biasa